SABAK BERNAM, 20 OKTOBER – Seramai 2,976 warga emas dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabak berdaftar dalam Skim Mesra Usia Emas (SMUE) sejak ia dilancarkan pada 1 Oktober 2008.
Pegawai Penyelaras Pembangunan Dun Sabak, Sallehen Mukhyi berkata, daripada jumlah itu, lebih 500 penama SMUE telah meninggal dunia.
“Waris menerima sumbangan berjumlah RM2,500 menerusi dua peringkat.
“Mengikut rekod kita, sehingga kini seramai 563 penama meninggal dunia dan waris menerima RM1,000 sebagai sumbangan fasa pertama skim ini dengan nilai keseluruhan RM563,000 untuk membantu menguruskan jenazah warga emas,” katanya ketika Program Jom Shopping melibatkan warga emas yang mendaftar dalam SMUE siri kedua.
Manakala daripada 563 penama itu, seramai 451 waris sudah menerima sumbangan fasa kedua berjumlah RM1,500 dengan nilai keseluruhan RM676,500.
Sallehen berkata, pendaftaran SMUE itu juga masih lagi diteruskan dari masa ke semasa untuk membolehkan lebih ramai waris menerima sumbangan untuk dimanfaatkan kepada warga emas yang meninggal dunia.
Menurutnya, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sudah diarah untuk sentiasa bergerak mencari warga emas yang masih belum mendaftar untuk dimasukkan dalam senarai SMUE sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap khidmat mereka.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pelaksanaan Jom Shopping yang meraikan warga emas dengan pemberian baucar bernilai RM100 itu bakal diadakan setiap minggu dengan sasaran mengumpulkan 400 warga emas setiap bulan.
“Tanpa mengira fahaman politik, warga emas yang berdaftar dengan SMUE akan kita berikan ruang dalam program Jom Shopping, setiap minggu kita berikan kepada 100 warga emas, ini adalah antara medium Kerajaan Negeri kepada warga emas,” katanya.
Sehingga kini, jelasnya, seramai 200 warga emas dari Dun Sabak menerima manfaat perlaksanaan Jom Shopping dengan nilai keseluruhan mencecah RM20,000.
“Kita dapat lihat kegembiraan dalam kalangan warga emas ini apabila mereka dibawa keluar membeli belah bersama rakan seusia,” katanya.
-SINAR HARIAN- |