PUCHONG, 24 APR : Program Jom Shopping yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor terus mendapat sambutan menggalakkan di kalangan masyarakat tanpa mengira latarbelakang politik, bangsa dan agama.
Melalui program seumpama ini, warga emas berusia 60 tahun keatas yang telah berdaftar di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) diberikan baucar sebanyak RM100 untuk membeli belah di pasaraya terpilih.
Menurut Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang, Mohd Rosharizan Mohd Rozlan, program ini terus mendapat sambutan hangat daripada warga emas sejak ia dilancarkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tahun lepas.
Beliau berkata, setakat ini DUN Seri Serdang telah melaksanakan program tersebut sebanyak enam kali dengan penyertaan lebih 400 warga emas.
“Sebenarnya seramai 600 warga emas yang dipilih untuk membeli belah di pasaraya Giant Bandar Putra Permai. Namun disebabkan ada di kalangan mereka yang tidak dapat menyertainya kerana uzur atau masalah kesihatan, maka jumlahnya kelihatan kurang.
Bagaimanapun, untuk kes sebegini, kita akan minta Jawatankuasa Pengurusan DUN untuk menghantar barang keperluan ke rumah mereka,” katanya apabila ditemui.
 |